'Christian
The Lion' merupakan seekor singa jantan yang tular di media massa suatu
ketika dahulu. Pada tahun 1969, Anthony Bourke dan John Rendall dua
jejaka muda daripada Australia telah mengembara ke kota London. Sewaktu Rendall
dan Bourke memasuki sebuah kedai, mereka tertarik dan jatuh cinta apabila
melihatkan kecomelan dua ekor anak singa kecil yang berada di dalam sangkar
yang sedia untuk dijual. Setelah mencapai keputusan yang muktamad, mereka
bercadang untuk membeli salah satu daripada anak singa tersebut untuk dibela
dengan harapan mereka dapat membesarkan anak singa tersebut dengan lebih baik
daripada sebelum ini. Kemudian, mereka membawa balik anak singa tersebut ke
sebuah rumah flat milik mereka dan menamakannya Christian.
Christian
akan menghabiskan masanya dengan bermain di kedai perabot milik Rendall dan
Bourke iaitu Sophisticat di bangunan bawah tempat tinggal mereka atau bermain
dan meluangkan masa dengan kanak-kanak
kecil yang sukakan Christian di halaman gereja yang berdekatan. Bukan itu
sahaja, Christian sangat disayangi oleh orang ramai daripada pelbagai lapisan
umur kerana ia sangat comel dan manja.
Apabila
Christian semakin membesar, mereka mula merasakan bahawa Christian tidak wajar
dibela di sebuah flat kecil dan perlu dilepaskan ke hutan rimba untuk menjalani
kehidupan yang sebenar walaupun hati mereka berat untuk melepaskan Christian. Kemudian.
Christian telah diterbangkan ke Taman Negara Kora yang terletak di Kenya di
bawah penjagaan George Adamson. Pada mulanya, persekitaran yang baru telah
membuat Christian berasa janggal dan tidak selesa. Setelah itu, Rendall dan
Bourke dapat menyaksikan sendiri bahawa hutan rimba merupakan rumah kepada semua haiwan eksotik seperti
Christian apabila melihat ia seronok menyesuaikan diri di dalam taman negara
tersebut.
Tetapi,
di dalam kegembiraan terpalit juga kesedihan di kedua-dua wajah Rendall dan
Bourke . Niat utama mereka untuk melepaskan Christian ke dunia yang baru harus
dikekalkan. Dalam pada masa yang sama, mereka amat risaukan Christian kerana ia
tidak pernah didedahkan dengan cara untuk berdikari di dalam hutan kerana di
luar sana terdapat banyak haiwan yang ganas dan menakutkan. Christian pada
waktu tersebut hanyalah seekor singa yang sangat naif dan tidak tahu cara-cara
untuk memburu dan mendapatkan makanan.
Pada
tahun 1972 dengan perasaan rindu yang membuak-buak, Rendall dan Bourke kembali
semula ke Kenya dengan harapan dapat bertemu semula dengan Christian di kawasan
ia dilepaskan pada satu tahun yang lalu. Ketika mereka tiba di sana, Adamson
memberitahu bahawa beliau sudah tiga bulan tidak nampak kelibat Christian. Perkara
yang mengejutkan ialah apabila Christian turut muncul di kawasan tersebut apabila
Rendall dan Bourke tiba di situ. Pertemuan mereka telah dirakamkan dan melakarkan
sejarah setelah menjadi perbualan ramai di serata dunia menerusi medium media
massa. Pada
ketika itu, Rendall dan Bourke sedar bahawa mereka telah membuat keputusan yang
betul apabila mereka dengan rela hatinya melepaskan Christian ke tempat yang
sepatutnya ia dibesarkan dan meneruskan kehidupan.
Kisah
ini menceritakan tentang kesedaran terhadap kepada orang ramai untuk menghargai
haiwan eksotik dan serta tidak menganggap mereka sebagai haiwan peliharaan. Hal
ini dikatakan demikian kerana tempat yang sepatutnya mereka berada bukanlah di
dunia yang penuh manusia tetapi rumah mereka adalah di kawasan hutan rimba yang
penuh dengan keperluan mereka bagi melengkapkan biodiversiti serta menjamin
ekosistem yang stabil.
Comments
Post a Comment