Youth Power memberi maksud hak atau kuasa anak muda untuk bersuara menyatakan pendapat atau sebarang bantahan untuk menegakkan keadilan. Youth memberi maksud anak muda. belia dan remaja manakala Power pula bermaksud keupayaan anak muda untuk mengubah negara ke arah kebaikan.
Sejujurnya, anak muda mempunyai keupayaan
serta kemampuan untuk memberi inspirasi serta mampu untuk meningkatkan mutu
hidup orang – orang yang berada disekelilingnya. Maka, dengan wujudnya kuasa
untuk mengubah di tangan anak muda, negara kita boleh berubah menjadi lebih
baik daripada sekarang tetapi dengan syarat, anak muda hendaklah rajin,
mempunyai semangat yang berkobar – kobar, keazaman yang tinggi serta menanam
nilai – nilai murni di dalam diri bagi membentuk sahsiah yang baik.
Selain itu, perkataan anak muda ini amat sinonim dengan perkataan malas, tidak matang, tidak serius dan banyak lagi
unsur – unsur negatif yang hanya dipandang dalam diri seorang anak muda. Jika
persepsi orang kita masih lagi seperti ini, maka negara kita akan sentiasa
ketinggalan di belakang negara – negara yang maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
Hal ini dikatakan demikian kerana, golongan anak muda atau belia inilah yang
akan memimpin negara pada masa akan datang.
Seterusnya, anak muda sering dipandang
rendah kerana mereka dianggap sebagai budak mentah yang tidak matang di atas
faktor usia yang masih muda. Bukan itu sahaja, anak muda juga dilabel sebagai
botol kosong yang tiada nilai atau manfaatnya. Oleh itu, apa yang patut anak
muda lakukan? Anda harus bangkit dan jangan mengalah! Anak muda hendaklah
membuktikan bahawa segala buah fikiran masyarakat yang kolot ini salah belaka
dan tidak patut diterima oleh masyarakat dengan melibatkan diri dengan aktiviti
– aktiviti kemasyarakatan, kesedaran, kepimpinan dan sebagainya agar dapat
mengasah bakat yang ada serta menilai tahap kemampuan anak muda untuk bersuara
di khalayak ramai.
Kesimpulannya, anak muda merupakan tulang
belakang negara serta harapan bangsa dan negara di masa hadapan. Oleh itu, anak
muda haruslah peka akan tanggungjawabnya untuk sama – sama membangunkan negara
bagi kesejahteraan sejagat. Setiap orang dilahirkan dengan bakat. Tetapi,
segalanya terletak di dalam diri kita sama ada kita mahu menyahut cabaran
dengan menonjolkan bakat yang kita ada atau memilih untuk berdiam diri dan
mensia – siakan sahaja bakat yang kita ada. Renung – renungkanlah wahai anak
muda, kerana setiap daripada kita sedang memikul beban yang besar untuk
menjadikan negara kita sebuah rumah yang kekal sejahtera dan sentiasa mengalami
penambahbaikan.
Ingatlah bahawa, ‘Ini Malaysia, Kita Punya, Bersama, Selamanya’.
Comments
Post a Comment